PUTATAN: Panik ketika menerima panggilan dan sifat tamak untuk memperoleh pulangan pelaburan tinggi menjadi antara punca jumlah mangsa kes jenayah 'scam' atau penipuan dalam talian semakin meningkat, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Beliau berkata lebih 1,000 mangsa scam direkodkan dari Januari hingga November lepas di Sabah melibatkan jumlah kerugian mencecah hingga puluhan juta ringgit.

"Ia (penipuan) tidak memilih mangsa, ada yang berpangkat tinggi dan ada berpangkat rendah. Salah satu puncanya adalah rasa panik masyarakat apabila menerima panggilan. Keduanya rasa tamak ingin mendapat sesuatu yang lebih.

"Apabila membuat sesuatu pelaburan dalam jumlah sedikit, bila scammer tawar keuntungan lebih tinggi, memandangkan (mangsa) sudah rugi sedikit, jadi dia cuba 'kejar' kerugian itu sehingga menyebabkan semakin banyak wang hilang," katanya kepada pemberita selepas program kepolisan komuniti dan karnival keselamatan jalan raya di sini, semalam.

Terdahulu, Jauteh menghadiri sesi townhall membincangkan topik bertajuk 'Hidup Sejahtera Tanpa Dadah, Tenang Fikiran Tanpa Scammer' diadakan antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bahaya dadah dan jenayah scam yang semakin berleluasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Shahelmey Yahya dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Jauteh berkata program townhall seumpama itu diharap dapat memberi ilmu dan maklumat kepada masyarakat setempat agar sentiasa bersiap sedia dan berwaspada dengan setiap panggilan tidak dikenali atau tidak dapat dikesan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah scam.

-- BERNAMA